Laporan MPM UTM ke Majlis Berbuka Puasa Duta Besar RPI di KL

Jumaat, 3 September 2010 - Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (MPM UTM) telah diberi penghormatan oleh pihak Kedutaan Republik Indonesia (RPI) ke Malaysia di Kuala Lumpur apabila turut dijemput bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da’i Bachtiar. UTM telah diwakili oleh Noor Aimran B. Samsudin, Setiausaha Agung, Umi Kalsom Binti Mohamad Yusof, Exco Jabatan Kebajikan dan Pelestarian Kampus dan Mohd Irfan Bin Mohd Shah dari UTM IC. Jemputan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan pihak kedutaan RPI terhadap keprihatinan mahasiswa UTM terhadap isu nasional antara kedua-dua buah negara. Dalam beberapa siri lawatan sebelum ini, MPM UTM telah menghantar nota bantahan ke Konsulat Jeneral RPI di Johor Bahru sebagai tanda bantahan pencerobohan ke atas Kedutaan Malaysia di Indonesia pada 25 Ogos 2010 yang lalu. Kemudian pada 30 Ogos 2010, dua buah bas dari UTM telah ke Kedutaan RPI di Kuala Lumpur bagi menghantar kuih dan kad ucapan hari raya kepada Presiden RPI, Susilo Bambang Yudhoyono sebagai tanda jalinan mesra yang masih terjalin diantara mahasiswa Malaysia & RPI. Sehubungan dengan itu pihak kedutaan telah menjemput secara rasmi wakil mahasiswa UTM untuk turut serta dalam majlis berbuka puasa yang telah diadakan semalam.



Wakil dari UTM kampus Johor Bahru telah bertolak sekitar jam 12.30pm menggunakan kenderaan rasmi UTM. Perjalanan kami sedikit terganggu dengan kesesakan lalu lintas berhampiran Plaza Tol Sg. Besi dan Jalan Tun Razak selama sejam. Namun kami berjaya tiba di bangunan kedutaan sebelum majlis bermula. Kami telah disambut mesra oleh para pegawai kedutaan di hadapan dewan utama. Majlis tersebut turut disertai oleh wakil mahasiswa dari universiti sekitar Lembah Klang, wakil mahasiswa Indonesia, para pensyarah, golongan profesional dan para wartawan. Pada jam 7pm, majlis bermula dengan mendengar teks ucapan Presiden RPI, Susilo Bambang Yudhoyono berhubung isu semasa antara kedua-dua buah negara yang telah dibacakan oleh Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da’i Bachtiar. Pihak kedutaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para tetamu yang sudi memenuhi jemputan tersebut. Para tetamu dihidangkan dengan buah kurma dan makanan ringan sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di dewan. Majlis bersambung dengan sesi jamuan. Sebagai tanda penghargaan, pihak UTM turut menyampaikan kek yang telah ditempah khas kepada wakil kedutaan bersama buah kurma di akhir majlis. Majlis berakhir sekitar jam 9.30pm.



Sepanjang majlis tersebut kami berkesempatan untuk berkongsi pendapat dan saling berkenalan dengan para pegawai kedutaan dan tetamu lain. Secara keseluruhan majlis tersebut berjalan dengan semangat muhibah. MPM UTM mewakili mahasiswa percaya kedua-dua pihak berupaya menyelesaikan isu semasa dengan kadeh diplomatik dan saling hormat-menghormati.

Disediakan oleh,



Noor Aimran B. Samsudin
Setiausaha Agung MPM UTM

0 comments:

Post a Comment