Bismillahirrahmaanirrahim..Alhamdulillah, lafaz syukur tak terhingga buat Rabbul'Izzati yang sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong atas segala nikmat dan ketentuanNya yang memudahkan segala urusan kita pada hari ini..
Selawat dan salam buat kekasihNya Nabi Muhammad s.a.w, keluarga, para sahabat dan sekalian ummat yang mencintai baginda..
Alhamdulillah, temujanji 8.30 pagi untuk bertemu dengan Encik Mus (Timbalan Pendaftar FKE) dapat dipenuhi. Tujuannya untuk aku serahkan laporan akhir kajian 'Mahasiswa Sejahtera' yang telah dilakukan ke atas 353 responden dari kalangan mahasiswa yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik yang dikelolakan oleh MPM dengan kerjasama Jurutek bagi sesi 2010/2011.
Laporan ini merangkumi 5 bahagian :
- Bahagian A : Demografi
- Bahagian B : Kebajikan
- Bahagian C : Akademik
- Bahagian D : Kepimpinan
- Bahagian E : Perpaduan
Aduan dan cadangan yang diterima melalui edaran soal-selidik kajian ini adalah sebanyak 319 dan telah aku kategorikan mengikut bahagian tertentu. Seterusnya, menimbulkan inkuiri tahap tinggi aku siapa sebenarnya 85 % mahasiswa yang sama sekali tidak pernah membuat aduan atau cadangan berkenaan fakulti.
Jumlah 353 responden mungkin menjadi pertikaian kerana terlalu sedikit berbanding 1610 jumlah keseluruhan mahasiswa yang mengikuti pengajian Sarjana Muda di fakulti. Baiklah, bagi menentukan jumlah responden dengan 95% confidence interval, aku telah merujuk kepada ini ;
Robert V.Krejcie, Daryle W.Morgan Determining Sample Size For Research Activities EDUCATIONAL AND PSYCHOLOGICAL MEASUREMENT
Bukan mahu-mahu saja aku meletakkan jumlah responden atas kajian yang menelan masa ini. Semua harus diteliti dan harus dilakukan dengan hati. Tak dinafikan aku hampir terhenti di pertengahan, stuck almost give up..terima kasih bagi yang meneguhkan kembali pasak kekuatan. Alhamdulillah.
Mengisi kelompangan masa, diskusi bagi subjek Pengurusan Kejuruteraan mengambil tempatnya di Kolej 9 sebagai persediaan peperiksaan akhir pada esok hari 7 Mei 2011. Bersyukur, diskusi berkumpulan memang sangat membantu kefahaman. Alhamdulillah.
Makan, solat, tertidur. Ya, tertidur. Jam 3.15 petang aku terpacak mengetuk pintu pejabat dekan.
"Argh,aku lewat!.."
-teruk-
Bagi salam, duduk, mukaddimah kata dan menghulur laporan kajian sama seperti yang aku sampaikan pada En.Mus pagi tadi. Huluran disambut dan diletakkan di tepi meja. Tiada ulasan. Yang ada kata-katanya ini ;
"Saya memikirkan tentang penubuhan Jawatankuasa Siswa-Staf dan minta tolong untuk awak hantar nama student yang evaluated untuk diletakkan di bawah jawatankuasa ini dari kalangan MPM, Jurutek, IEM, IEEE, GOP dan mana-mana lagi perkumpulan student di bawah fakulti.."
Perjumpaan ini telah menyimpang dari tujuan asal dengan sangat jelas. Setelah hampir 1 jam berbincang mencirikan penubuhan jawatankuasa, perkembangan fakulti, geran penyertaan pertandingan, GOP, respon EAC, sumbangan alumni, trend mahasiswa yang semakin mandom dalam kurikulum mahupun kokurikulum, akhirnya dalam 5 minit terakhir laporan kajian itu disentuh juga oleh prof.
Tak mengapa, sekurang-kurangnya ada dari tiada. Jawatankuasa itu dan segala isi perbincangan sebelum 5 minit itu lebih penting. Penghujung kata insyaaAllah, aku sedia berkhidmat semula.
Aku membayangkan cuti semester ini juga terisi.Tak perlu istilah "campus stay" sebagai perasmi. Lanjutan cuti hingga awal September sedikit pun tidak mengubah apa-apa. Segalanya-galanya sedang menunggu waktu, penuh perancangan.