Bismillahirrahmanirahim.
Assalamu'alaikum dan salam sejahtera buat semua.. :)

Selawat dan salam buat Nabi Muhammad s.a.w. dan seluruh umat yang menyintai baginda.
Mudah-mudahan kita ini dalam golongan yang mendapat rahmat dan syafaat di hari akhir kelak. InsyaAllah. Dah habis final, lega.. baru boleh menggoreng semula selepas hampir sebulan tak update blog. Maaf ye, untuk menulis dengan sopan aku perlukan hati yang tenang dan jiwa yang lapang. (^___^)

Ingat lagi peristiwa UPSI Berdarah pada 1 Januari 2012?
Suka aku untuk memaklumkan kepada kalian bahawa tujuan asal perhimpunan mahasiswa di UPSI adalah bagi meraikan tahun baru, solidariti kepada Adam Adli dan tuntutan kebebasan akademik. Natijah aksi dan reaksi di antara mahasiswa dan penguasa, maka tercetuslah peristiwa UPSI Berdarah. Rentetan peritiwa itu pula, berbagai-bagai  persepsi timbul yang bagi aku kebanyakannya hanya sembang lebat, tanpa solusi bahkan mengeruhkan lagi keadaan. Aku sendiri tidak terkecuali sebenarnya.

Ini post aku bersama-sama video di facebook.
"Mereka kata nak bela kawan, tapi kenapa pukul?Beginikah cara polis menjaga keamanan? PENIPU!!"

Hasilnya,
Sepupu aku seorang polis, 'menegur' aku.. AJK program yang dahulunya sopan, mula berkata kasar pada aku.. pensyarah yang aku hormati, berselisih pandang dengan aku.. kawan aku, ayahnya polis telah membuat status yang menyelar tuduhan penipuan itu.. dan akhirnya bapa saudara aku juga telah menyampaikan pesan kepada ayah aku agar "mengawal" anaknya ini supaya tidak terlalu lantang dalam keterbukaan status di facebook.

Untuk makluman, aku mengikuti perkembangan isu bukan bermula pada 1 Januari ketika tercetusnya peristiwa yang disebutkan tadi bahkan sebelumnya lagi. Mereka ini mahasiswa, mereka juga adalah sahabat-sahabat aku sealiran seperjuangan. Apa pandangan dan perasaan kalian apabila melihat sahabat kalian diheret, dipukul sehingga tidak sedarkan diri, mereka ini bahkan tidak bersenjata dikelilingi trak pihak penguasa yang jelas benar tidak seimbang lawannya?Media pula berhalunisasi dengan meyatakan mangsa kejadian mencederakan diri sendiri.
Aku sangat empati dan simpati.Sehingga emosi aku tidak lagi terkawal dan meledak, di situlah aku nampak kesilapan yang tidak sekali-kali membantu dalam membaikpulih keadaan bahkan segala matlamat yang membawa kebaikan pun tidak akan tercapai. Rugi.

Dalam perhubungan antara manusia dengan manusia, aku suka untuk merujuk karya Dale Carnege "How to Win Friends & Influence People" edisi Bahasa Melayu.

"Kamu berdebat, mengecam dan menentang, kamu kadang-kadang memang mendapat kemenangan, tetapi itu adalah kemenangan kosong kerana kamu tidak dapat memupuk semangat muhibah dengan lawan kamu." (m/s 160)

Sebagai mahasiswa cakna, menuntut keadilan buat rakyat atas kepincangan urustadbir negara, menjadi check and balance, lantas memberi cadangan juga memorandum.
Ya, kita mungkin di pihak yang benar.
Namun, sejauh mana hujah kita dapat mengubah pemikiran orang disekeliling kita, friendlist kita, stalker2 kita mahupun pelawat-pelawat blog kita dengan hujah yang menjatuhkan, memburuk-burukkan dan menuding kesalahan kepada pihak lain?
Kawan, usaha kita itu sebenarnya adalah sia-sia dan akhirnya kembali seolah-olah kita yang bersalah.

Seorang ahli falsafah Itali menyatakan,
"Kita tidak dapat mengajar apa-apa pun kepada orang, kita hanya dapat membantunya menemukan pengajarannya dalam dirinya sendiri."

Sebagai umat Islam pula, segala yang disandarkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w wajib menjadi rujukan untuk tindakan. Perhatikan bahawa kekuatan akhlak sama ada kata-kata mahupun perbuatan baginda yang penuh hikmah dan menyenangkan lantas menjadi faktor utama dalam memenangi hati dan pemikiran masyarakat seterusnya diwarisi oleh para sahabat dalam membina tamadun Islam yang hebat sehingga berjaya menguasai dua pertiga dunia.

Oleh itu untuk akhirnya, dalam bersama-sama kita mahukan tertegaknya yang haq dan runtuhnya kebatilan, tingkahlaku kita dalam mencapai matlamat itu wajib kita perhalusi. Belai emosi agar tidak meledak pada ketika yang tidak kena pada tempatnya. Berhati-hati dalam ekstrovet diri,  usah sehingga kita ini tanpa sedar telah membawa fitnah yang memburukkan akhlak islami. Dalam ketenangan dan harapan sepenuhnya pada Allah Rabbul Jalil yang memegang kunci hati manusiawi, teruskanlah usaha dengan sesungguh-sungguhnya. Bi iznillah, akan dibolak-balikkan hati yang masih terhijab agar menerima dan kembali pada cahaya yang membawa kepada redhaNya yang hakiki.

1 comments:

I salute you, dik!

Post a Comment