Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaanNya..
Selawat dan salam buat junjungan mulia, Rasulullah s.a.w, keluarga, para sahabat juga seluruh ummat yang menyintai baginda.


Alhamdulillah 'ala kulli hal.. 18-19 Feb 2012 yang lepas satu konvensyen yang mengumpulkan tokoh-tokoh ilmuwan seperti Ustaz Dr.Zaharuddin, Ustaz Dr. Zahazan, Ustaz Ramadhan Fitri, Imam muda Asyraf, Ustaz Dr. Abdul Basit, Ustaz Zamri Mantop dan ramai lagi telah berjaya dilaksanakan di PWTC.. Konvensyen Fiqh Ummah atau ringkasnya k-fiqh yang menjelaskan konsep wasatiy (sederhana) dalam setiap pembentangan kertas kerjanya ini telah menarik ribuan peserta dari seluruh pelosok negara terutamanya anak-anak muda, seusia, mahasiswa dari pelbagai jurusan.. pendidikan, sains biologi, kejuruteraan, perubatan dan sebagainya (hasil temuramah tak rasmi).. bukan semata-mata skeptikal untuk dinyatakan hanya mahasiswa pengajian islam yang berminat untuk hadir.. sangat menjentik hati untuk menzahirkan kesyukuran pada Allah, bahawasanya mereka ini pewaris masa depan, bakal-bakal profesional dalam menerajui negara yang meletakkan Islam sebagai tunjangnya..InsyaAllah.

Dalam kesempatan menyertai konvensyen ini, dalam satu suasana yang menenangkan.. sangat dirindui dan sangat diharapkan untuk sentiasa berada dalam situasi seperti itu lagi dan lagi.. sedikit buah tangan untuk kalian yang tidak berkesempatan untuk turut menyertainya. mudah-mudahan bermanfaat.. :)

*.........................................*................................................*

RESOLUSI KONVENSYEN FIQH UMMAH 2012


UMUM
Wasatiy yang dimaksudkan dalam konvensyen ini adalah sesuatu metode kefahaman ilmu dan pengamalan beragama yang paling adil dan terpilih bersandarkan Al-Quran dan Sunnah berdasarkan situasi semasa tertentu.


Manhaj atau metod wasatiy amat perlu didokong oleh umat bagi memastikan kejituan dalam kefahaman ilmu Islam, mengurangkan pergeseran di kalangan sebahagian ulama dan umat Islam, merapatkan ukhwah serta membenihkan kasih sayang sesama Muslim.

AQIDAH
Wasatiy dalam aqidah adalah aqidah ahli sunnah wal jama'ah (merangkumi salafiyah, asya'irah, maturidiah) yang bersumber dari nas Al-Quran dan hadis yang sahih sambil menyedari bahawa kefahaman teks Al-Quran dan Hadis boleh membawa kepada pembahagian ilmu aqidah kepada Usul dan Furu' (cabang).


Umat Islam diwajibkan bersatu di atas Usul Aqidah namun dibenarkan berbeza tafsiran di dalam hal furu'. Dengan itu, konvensyen menekankan umat Islam agar mendalami ilmu Usul Aqidah dan mengurangkan perdebatan dalam hal ehwal cabang aqidah.

IBADAH
Wasatiyah dalam ibadah merupakan tanggungjawab dan tugas asas umat Islam dalam kepelbagaian pensyariatan hukum-hakam dengan memurnikan wawasan ukhrawi tanpa melupakan keperluan duniawi yang menjadi alat kebahagiaan di akhirat.


Perlaksanaan ibadah meraikan keadaan dan kemampuan manusia dan perbezaan situasi mereka serta meraikan aspek-aspek kemudahan dan keringanan dalam pensyariatan.


Persoalan bida'ah dalam ibadah terdedah kepada pelbagai tafsiran, justeru perlu diperhalusi pengertiannya dengan lebih teliti agar tidak dijadikan sebagai mediun kafir-mengkafir dan saling menyalahkan antara satu sama lain.


Wasatiyah dalam ibadah zakat merangkumi ketelusan pentadbiran, mengelakkan penyalahgunaan, kaedah pengagihan yang lebih efektif dan sebarang bentuk penyalahgunaan sumber demi kepentingan individu mahupun kumpulan tertentu.


Meraikan pandangan dari pelbagai pihak dalam usaha penambahbaikan serta mengelakkan salah faham dan kekeliruan isu zakat. Bersifat lebih terbuka dalam menangani permasalahan dan keperluan asnaf serta memelihara maslahat muzakki.


DAKWAH
Wasatiy di dalam dakwah adalah yang dilakukan secara berhikmah sambil meraikan kepelbagaian latar belakang mad'u, persekitaran dan kesesuaian teknik dakwah, menjinak hati serta tidak menghukum.


Pun begitu, kandungan dakwah adalah sama iaitu membawa diri pendakwah sendiri dan masyarakat (mad'u) untuk hampir kepada Allah dan RasulNya dengan mentaati syariah Islam.


Juga disedari, dakwah kepada Islam memerlukan pendakwah dari pelbagai bangsa dan ia pula bukan bererti membawa mad'u kepada identiti bangsa dan kumpulan tertentu.

KEWANGAN DAN EKONOMI
Wasatiy di dalam ekonomi dan kewangan adalah menerima sistem dan matawang yang sedia ada sambil menegaskan usaha untuk memahamkan umat Islam berkenaan ilmu dan sistem muamalat Islam adalah menjadi keutamaan.

Konvensyen juga menegaskan sokongan terhadap usaha memantapkan muamalat Islam sama ada melalui sistem perbankan Islam terkini atau pengenalan sistem matawang Emas. Dengan menolak sebarang pendekatan meremehkan kedua-dua usaha tadi. Namun usaha penambahbaikan mesti diteruskan demi kemaslahatan umat Islam.

TURATH
Wasatiy dalam khazanah dan karya ulama silam adalah mengiktiraf kepentingannya dalam memahami nas syarak dan menjadi asas kepada perkembangan intelektual umat Islam kini.

Juga ditegaskan ilmu alat bahasa Arab dan pemahaman terhadap terminologi khas, konteks karya tersebut dihasilkan adalah sangat penting dalam memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis.

Juga disedari bahawa sebahagian kesimpulan yang terdapat di dalam khazanah silam berkemungkinan kurang menepati suasana, penemuan dan kajian semasa, justeru ia terbuka dan memerlukan kepada proses pembaharuan melalui ijtihad ulama kontemperori.

TAZKIYAH AN-NAFS
Mengiktiraf kepentingan 'penyucian jiwa' bagi mencapai kemuliaan akhlak, ketinggian iman dan kejituan ibadah yang merupakan tuntutan terbesar di dalam diri setiap individu muslim.

Juga, konvensyen menetapkan bahawa kaedah, jalan dan caranya mungkin berbeza di antara satu dengan yang lain, namun yang terbaik adalah yang berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah.

POLITIK
Konvensyen menekankan peri pentingnya politik di dalam Islam dengan tidak mengambil ruang ekstrem menjadikannya sebagai lapangan kafir-mengkafir, menyesat dan menzalimi sesama umat Islam.

Juga menyeru umat Islam untuk berpegang kepada politik yang berpaksikan prinsip, hujah, moral dengan berlandaskan ukhwah.

Persaingan sihat di dalam politik berdasarkan kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik adalah untuk kemaslahatan umat berteraskan maqasid syariah tanpa menggadaikan nilai-nilai akhlak di dalam Islam.

PENGAJIAN AL-QURAN
Al-Quran adalah kitab Allah yang wajib difahami sebagaimana kehendak Allah, menurut kemampuan akal manusia dengan bersandarkan sunnah Rasulullah, athar para sahabat dan tafsir para ulama muktabar.

Ilmu-ilmu yang merangkumi qira'at, tajwid, tafsir Al-Quran dan yang berkait dengan Al-Quran adalah satu disiplin ilmu tersusun yang mempunyai tuntutan tersendiri. Kelayakan ilmu dalam bidang ini sangat diperlukan bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dalam memahami nas Al-Quran.

*.........................................*................................................*

Wallahu ta'ala a'alam. :)

1 comments:

Syukran atas perkongsiannya. :)

Post a Comment