Respon Isu: Sekolah untuk Pelajar Hamil

Penubuhan sekolah bagi pelajar hamil bukanlah sesuatu yang baru di negara ini bahkan telah wujud semenjak tahun 70-an lagi di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang antaranya terletak di Rembau, Cheras, Sarawak dan Batu Gajah di mana kemasukannya menggunakan Akta Perlindungan Wanita Dan Gadis 1973 (Akta 106). Persoalan mula timbul apabila sekolah jenis ini yang pernah diwujudkan masih tidak dapat menyelesaikan permasalahan tetapi peningkatan kes terus berlaku bahkan semakin membimbangkan.Ini berdasarkan rekod JKM bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008. Jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ia berdasarkan kes dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sahaja.

Merujuk kepada penubuhan Sekolah Harapan oleh kerajaan Melaka yang mula dibuka pada 17 September 2010 dengan menelan belanja RM100,000 ini, ia bertujuan menangani gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Pengerusinya, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata keseluruhan bangunan Sekolah Harapan itu dilengkapi penghawa dingin termasuk di tiga kelas dengan setiap kelas menampung antara 10 dan 12 pelajar. Keseluruhan lantai bangunan sekolah dua tingkat itu juga dipasang dengan permaidani bagi memberi keselesaan kepada pelajar hamil mengikuti pembelajaran. Beliau juga turut menjelaskan bahawa waktu pembelajaran pula adalah sama seperti waktu sekolah biasa dan kelas termasuk kelas komputer dan kemahiran memasak serta menjahit. Perkara ini secara dasarnya dilihat positif lantaran kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan selain penyusunan silibus pengajaran yang dapat membantu pembentukan insaniah kepada bakal pelajar sekolah tersebut. Ironinya, penubuhan sekolah ini bakal mencetuskan epidemik hamil luar nikah di kalangan pelajar kerana dijadikan penyelasaian masalah untuk menutup malu pelajar dan pihak lain yang berkaitan. Turut membimbangkan adalah implikasi lain yang timbul melalui doktrin persepsi yang menghalalkan penzinaan selain label atau stigma negatif yang akan digalas oleh bekas pelajar Sekolah Harapan ini di masa depan.

Perumpamaan ‘meracun rumput biarlah sampai ke akar’ wajar diaplikasikan bagi mengatasi permasalahan ini.Seharusnya semak semula bagaimana kestabilan institusi kekeluargaan yang menjadi entiti dalam pembentukan masyarakat hari ini.Adakah anak remaja ini cukup imun melawan petogen gejala sosial dan hedonisme yang semakin berserakan di luar sana?Kita lihat sama, adakah perlaksanaan undang-undang di negara ini sudah cukup utuh untuk membejatkan penularan gejala pelajar hamil di luar nikah ini?Seterusnya, adakah sistem pendidikan yang diterapkan kepada pelajar-pelajar ini turut juga membentuk sahsiah diri yang seimbang dari segi rohani dan jasmaninya?Ini adalah sebahagian dari persoalan yang harus dijawab jika kita bersungguh-sungguh mengatasi permasalahn ini hingga ke akar umbinya. Secara tuntasnya, setiap permasalahan yang timbul pasti akan terbentang penyelesaiannya asal tak jemu berusaha dan lakukan apa sahaja selagi tidak tersimpang dari panduan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai yang difirmankanNya yang bermaksud:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan sendiri mengenai urusan mereka, dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab: 36).

Wallahu’alam.



0 comments:

Post a Comment