TEKS UCAPAN WAKIL PELAJAR
MAJLIS MAKAN MALAM FAKULTI/MALAM GRADUASI
FAKULTI KEJURUTERAAN ELEKTRIK, UTM JB
Rabu | 23 Mei 2012 | Le Grandeur Palm Resort Johor

Bismillahirrahmanirrahim.
Yang Berusaha saudara dan saudari pengerusi majlis,
Yang Berbahagia Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik,
Prof. Ir. Dr. Abdul Halim bin Mohamed Yatim
Yang Berbahagia Timbalan-Timbalan Dekan,
Yang Berbahagia Timbalan Pendaftar,
Ketua-ketua Jabatan,
Pensyarah-pensyarah,
Staf-staf fakulti,
Barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Majlis,
Barisan Mantan Majlis Perwakilan Mahasiswa, Mantan Ahli Jawatankuasa Jurutek,
Ahli Jawatankuasa Jurutek,
Seterusnya yang diraikan semua mahasiswa/mahasiswi yang hadir pada majlis makan malam fakulti ini.

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah, rahmat, kurnia dan izinNya maka kita semua telah berpeluang bertemu dalam majlis yang indah ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada tenaga penggerak majlis ini kerana tanpa susah payah mereka tidaklah kita dapat bersama-sama di sini dalam usaha mengeratkan silaturrahim antara kita dan mencipta memori terindah dalam kehidupan. Seterusnya, saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana tealh sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucapan ringkas dalam majlis ini.

And to all international students, hopefully you can apply your skills in Malaysia national languange by enjoying this speech in Malay.
(THROW THIS OUT WITH SMILE, IT'S NOT SARCASM)

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Seperti yang dimaklumi, jemputan kita yang diraikan pada malam ini sebahagian besarnya adalah mahasiswa tahun akhir yang akan bergraduasi tidak lama lagi. Dalam kesibukan menghadapi jadual padat di penghujung semester ini diharapkan kalian masih tetap tenang, fokus dan terus berusaha yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan. Dan saatnya apabila kita telah berjaya kelak, kenanglah insan-insan penting yang selama ini menyokong kita dari belakang, yang menyaksikan jatuh bangun kita sepanjang pengajian. Ibu bapa, pensyarah-pensyarah, penasihat akademik mahupun rakan-rakan sekelas dan rakan-rakan kolej kita sendiri.

Rakan-rakan yang saya kasihi sekalian,
Satu ketika nanti, kita akan bergelar alumni kepada sebuah fakulti premier dari sebuah institut pengajian tinggi awan terkemuka negara. Saya ingin berkongsi dapatan dari lawatan seorang Naib Canselor IPTA Malaysia ke India pada Januari 2009 yang lalu, dalam kesempatan dialog beliau dengan pengarah dan profesor-profesor Indian Institute of Technology Bombay IITB bagi meninjau rahsia kejayaan dan kecemerlangan IITB yang merupakan salah satu universiti terbaik dunia adalah keterlibatan alumni mereka dalam meningkatkan kualiti universiti. Dengan ini saya menyeru agar barisan mahasiswa/mahasiswi sekalian di hadapan saya ini dan buat diri saya juga yakni untuk kita sama-sama dapat melakukannya dengan kembali ke tempat pengajian ini memberikan sumbangan dan idea konstruktif yang membantu merealisasikan visi dan misi yang ditetapkan fakulti dan universiti amnya.

Begitu juga setelah menjadi seorang jurutera mahupun pekerja di mana-mana posisi sebagai penjawat awam di sektor kerajaan mahupun di syarikat-syarikat swasta, kita dapat memberikan tugas bakti yang terbaik dan cemerlang. Bagi umat Islam, dapat menjalankan tugas kita sebagai hamba Allah, khalifah Allah dan mengimarahkan dunia mengikut hukum Allah.

Hadirin sekalian,
Untuk akhirnya, tahniah saya ucapkan khas buat rakan-rakan seperjuangan kerana telah hampir usaha kita dalam menggenggam segulung ijazah namun harus sama-sama untuk kita ingati bahawa pembelajaran atau menuntut ilmu itu adalah sepanjang hayat.

Seterusnya, dengan ini saya mewakili seluruh mahasiswa/mahasiswi Fakulti Kejuruteraan Elektrik mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan pensyarah dan seluruh warga pentadbiran fakulti yang telah berusaha keras buat kami dan akan kami kenang jasa-jasa kalian membangunkan modal insan dalam diri kami. Mudah-mudahan setiap jerih payah itu, menjadi pahala berpanjangan dan jariah berterusan hingga ke akhirat kelak. InsyaAllah.

Barakallahulakum, Wassalamu'alaikum w.b.t.



-------

P/s: Hari itu hari yang agak kelam-kabut dengan urusan-urusan tambahan. Akhirnya, pukul 7.30pm naik bas, pukul 6.30pm baru nak google cari contoh teks ucapan. Tup-tup dapat mesej, kena buat dua versi sebab ada international student.. Owh, tidak adil. Saya tak pernah belajar minoriti kena ikut majoriti.. Ops!joking... hihi.. Erm, saya menghormati tetamu.. cuma sebab tak sempat sangat dah.. jadi, pandai-pandai hidup la goreng cover line tu ye.. hehe..

Buat mereka yang mengalami perkara yang sama seperti saya, semoga usaha kecil ini membantu memudahkan urusan. Kurang macho bagi ucapan tengok teks, tapi belum cukup kekuatan menggoreng di hadapan admin fakulti dalam keadaan perut berkeroncong masa tu. tamau ambil risiko~~ :D

1 comments:

Thank you so much! sgt membantu sy pun last minit diberitahu jadi wakil kene bagi speech utk dinner perpisahan fakukti. TQSM!

Post a Comment